Berpantang | Berpantang Aircond

Berpantang aircond

Pesanan orang tua yang masih berpegang teguh pada amalan dan gaya hidup masyarakat melayu dulu-dulu untuk yang bakal menjadi ibu atau yang sudah bergelar ibu agar menjaga diri selepas bersalin. Banyak kes hubungan suami isteri mula hilang sinar atau berantakan selepas bersalin. Isteri selalu sakit-sakit dan perubahan bentuk badan serta tiada manis lagi semasa di ranjang. Salah satu sebabnya adalah dari wanita itu sendiri yang tidak mengikut cara berpantang dengan betul atau memandang rendah pesanan dari orang tua perihal kebaikan berpantang.

Berbagai pantang larang setelah bersalin telah diajar dari turun temurun lagi yang dapat kita lihat pada hari ini sama ada dengan cara berpantang mengikut islam atau tradisional yang diamalkan oleh masyarakat melayu kini.

Tempoh berpantang berbeza-beza dan terpulang pada diri sendiri. Wanita itu sendiri yang tahu tentang sistem tubuh badan mereka. Ada yang mengamalkan berpantang selama 44 hari dan ada juga yang sampai 100 hari. Pemakanan dalam pantang juga haruslah dititikberatkan untuk kesihatan ibu dan bayi. Banyak penyakit atau kesan sampingan datangnya dari pemakanan semasa berpantang. Mungkin mereka sudah lupa amalan atau petua dari nenek moyang tentang penjagaan dan pemakanan selepas bersalin kerana menganggap berpantang itu tidak penting dan sekarang dunia sudah berubah, alaf baru dengan gaya hidup moden.

Salah satu melanggar patang larang semasa berpantang adalah berada sepenuh masa atau tidur di dalam bilik berhawa dingin (aircond).

Alasannya:-

  • Anak-anak tidak biasa tidur berpanas
  • Rasa kasihan pada bayi baru lahir takut berpeluh kepanasan
  • wanita itu sendiri yang tidak tahan berpanas
  • Menemani suami di dalam bilik berhawa dingin.

Ada sesetengah ibu berkata;
Kami minimum kan suhunya, kami guna selimut yang tebal, pakai stokin dan sapu minyak panas. Ok apa?
Dik, kalau dah duduk dalam bilik berhawa dingin (ber-aicond) dah terang-teranglah kita duduk dalam BERSEJUK. Berpantang biasanya kita di ajar untuk selalu dalam keadaan berpanas. Suami dulu-dulu sebelum isterinya bersalin sudah sediakan tempat salaian (macam katil) yang di bawahnya ada simpanan kayu bakar atau arang untuk buat nyalaan berbara untuk isterinya berpantang di atasnya supaya kehangatan berterusan.

Dik nak tahu tak kesannya bila kerap tidur dalam bilik berhawa dingin?
Ibu-ibu yang berpantang dalam bilik beraircond mudah terkena serangan “Bentan Urat ”, “Meroyan Urat ” dan “Meroyan Bulu ”.

Jika ada anak-anak yang sudah besar atau suami yang tidak tahan panas dan wajib kena pasang aircond, mengalahlah. Berkorban sedikit untuk masa depan kita.  Hindari dari tidur di dalam bilik beraircond itu. Bukan lama cuma 44 hari sahaja. 9 bulan 10 hari kita mampu inikan pula cuma 44 hari. Berpisah tempat tidur dengan suami atau anak-anak yang sudah besar itu bukannya sebab anda tidak sayangkan mereka! Sebab sayangkan merekalah anda kena redha. Siapa susah kalau kita sakit kemudian hari. Bila dah mula sakit, rutin sebagai ibu dan isteri akan terabai. Suami dah mula berjauhan. Anak-anak tidak terurus. Biar kita berkorban sedikit demi mereka semua. Imbuhan pengorbanan anda nanti di lihat dari segi kesihatan mental dan fizikal. Kesungguhan anda untuk cepat pulih dalam masa 44 hari akan menjadi titik noktah sebagai ibu yang kuat dan sihat supaya dapat luangkan masa berkualiti dengan suami dan anak-anak nanti. Berbeza bila saat kita selalu sakit-sakit apabila tamat tempoh berpantang. Anda dan suami merasa macam ada satu batu penghalang dalam menjalani hidup berkeluarga. Rimas dan stress. Asyik sakit-sakit atau lenguh-lenguh urat dalam badan.
Alasan bayi panas!
Dik, kalau nak tahu bayi kita tu semasa dalam perut lagi dah berpanas. Dalam kantung ketuban selama 9 bulan 10 hari dah biasa dengan kepanasan. Sebenarnya anda yang risau bayi itu panas. Risau takut naik ruam atau tak nak dengar bayi itu menangis.

Zaman tidak ada aircond, kipas adalah satu cara untuk hilangkan kepanasan. Tetapi orang tua dulu tidak halakan direct pada ibu atau anak yang baru lahir. Cuma sebagai pengaliran haba sahaja. Kipas di halakan pada tempat lain dan anginnya beredar di kawasan sekitar. Banyak alternatif  lain untuk sejukkan bayi. Dulu-dulu, bedak sejuk adalah benda asas yang perlu ada di setiap rumah. Sapukan bedak sejuk pada bayi selepas mandi. Pakaikan bayi dengan baju kain kapas nipis. Paling rare adalah menggunakan kain pelikat atau kain batik lusuh sebagai “Bedung”. Boleh cuba rasai kesejukkan bila kain batik atau kain pelikat lusuh bersentuh dengan kulit kita.
Berbeza pada zaman moden sekarang. Zaman trendy kononnya. Bayi yang baru dilahirkan dipakaikan pakaian atau baju dengan gaya “Mat Saleh”. Nak nampak trendy. Cuaca dia orang berbeza dengan cuaca kita dik oiii. Mana tak meragam bayi tu. Memang panaslah berbungkus dengan baju gaya mereka. Cuaca di sana sejuk. Jadi sesuailah dengan pakaian mereka camtu.

Si suami pula haruslah bertimbang rasa sikit pada isteri kita yang baru JER lepas bersalin. Mereka perlukan rehat dan tidur yang cukup dan selesa. Isteri dah bertarung nyawa untuk dapatkan zuriat awak! Berkorbanlah demi ikatan kasih sayang. Kalau nak tidur sebelah isteri, tahanlah panas sikit. Atuk kita dulu berpisah tempat tidur terus masa nenek kita berpantang bersalin. Rilex jer. Kalau nak pasang kipas boleh, tak salah. Minimum kelajuan kipas tu.Bila isteri melarang dari tidur bersama dalam tempoh masa berpantang tu, terimalah dengan hati terbuka. Bukannya naik angin al-marah tak menentu. Berfikir secara rasional. Wanita selepas bersalin yang mengamalkan tidur dalam bilik beraircond semasa tempoh berpantang mudah “MATI PUTIK”.
Apa tu?
Mati putik macam mati pucuk bagi kalangan lelaki. Bila dah mati putik (hilang selera/nafsu seks) barulah suami hilang akal. Masa tu menyesal pun dah tiada guna lagi. Mencegah adalah lebih baik dari merawat. Jadi, Suami haruslah memainkan peranan utama dalam menentukan isteri berpantang dengan betul. Bukan sebab apa, amalan ini untuk menjaga keharmonian dan kerukunan rumahtangga selepas mendapat cahaya mata. Banyak perubahan dari segi mental dan fizikal bagi wanita yang melahirkan anak. Salah satu yang menjadi igauan ibu-ibu adalah “GEMUK”. Tak nak gemuk! Berpantanglah dengan BETUL.
Ikut pantang larang orang dulu-dulu.

Bukan nak salahkan perubatan moden sekarang. Badan anda bukan tempat untuk dijadikan eksperimen atau bahan ujikaji. Bila badan dah mula mulai sakit-sakit akibat tidak berpantang dengan betul. Kos perubatan bukannya MURAH. Wang ringgit boleh dicari, tetapi kesihatan diri tiada nilainya. Kesannya berpanjangan dan berlarutan. Anda akan nampak TUA sebelum USIA. Padahal baru beranak satu (1). Tubuh badan mengalahkan ibu yang beranak tujuh (7).
Jangan pula nak menangis bucu katil bila suami buat perangai bercinta dengan pekerja kilang sebelah rumah. Lihat diri kita sekarang dan dahulu. Sebelum kahwin pandai jaga badan, tetapi bila dah bersalin automatik badan dah mengeleber. Untuk mengelak dari perkara nie berlaku, ikutlah saranan orang tua dulu-dulu yang menyuruh kita berpantang dengan betul. Ikut pantang larang. Bukan untuk keburukan, tetapi untuk kebaikan bersama. Dalam Islam pun tak melarang umatnya berbuat kebaikan untuk diri sendiri selagi ia tidak mendatangkan kemudaratan pada kita dan keluarga. Benda yang elok buat apa nak disanggah. 44 hari tidak sama dengan 44 tahun. Berpantang cuma 44 hari, tapi kalau tak berpantang dengan betul tunggulah masa umur kita sudah dekat 44 tahun. Masa tu barulah kita sedar kepentingan BERPANTANG. Sudah terlewat dik. Masa tidak akan berundur. Menjadi mangsa dari kedegilan kita adalah TUBUH BADAN kita sendiri. Kesannya hingga ke MENTAL. Porak peranda. Dunia sudah gelap. Banyak wang akan dilaburkan untuk perubatan pemulihan dek kerana alpa dengan pesanan nenek moyang kita dulu-dulu.

INGAT pesanan orang dulu-dulu untuk kesejahteraan diri dan rumahtangga.
“MENCEGAH LEBIH BAIK DARI MERAWAT”.
Berpantang penentu kesihatan anda! Tepuk dada tanya diri.

Wassalam
Kak Eja

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *