
Saat menyambut kelahiran orang baru dalam keluarga sebagai pelengkap hidup berumahtangga sememangnya amat dinanti-nantikan oleh setiap pasangan. Banyak perencanaan dan persiapan telah dilakukan seperti pemilihan tempat bersalin, nama yang baik, barang kelengkapan bayi, barang berpantang ibu dan sebagainya telah bermain di dalam fikiran. Namun adakah kita tahu bahawa terdapat amalan sunnah semasa menyambut kelahiran bayi lelaki ataupun perempuan.
Antaranya ialah;
Cara mengazankan bayi yang baru lahir.
Kenapa kita disarankan untuk mengazankan bayi yang baru lahir? Adakah ianya dilakukan pada zaman Rasulullah? Apakah hukum mengazankan bayi yang baru lahir? Ada satu hadith yang diriwayatkan oleh Ubaidilah Bin Abi Rafi;
“ Antara maksudnya, Aku melihat Rasulullah mengumandangkan azan di telinga Husain ketika Fatimah melahirkan (yakni) dengan azan solat”.
Berdasarkan hadith ini, hukum mengazankan bayi adalah sunnah. Sunnah bererti ianya adalah perkara yang digalakkan untuk diamalkan dan tidak termasuk dalam perkara wajib. Ibubapa yang tidak mengazankan anak yang baru lahir tidak akan menanggung dosa jika tidak mengamalkannya.
Satu lagi kelebihan mengazankan bayi yang baru lahir ialah untuk melindungi bayi tersebut daripada gangguan sejenis jin yang suka mengganggu bayi iaitu ummu sibyan. Salah satu kelemahan jin ini ialah perdengarkan laungan azan. Oleh itu, mengazankan bayi sejurus selepas kelahirannya adalah salah satu ikhtiar yang boleh dilakukan untuk melindungi bayi kita daripada gangguan makhluk halus tersebut.
Siapa yang kena azankan bayi yang baru lahir itu? Seeloknya bayi tadi diazankan oleh seorang lelaki dewasa yang berada dalam keadaan bersih tanpa hadas besar atau kecil. Lagi afdal jika dalam keadaan berwuduk. Namun jika tiada lelaki dewasa untuk mengazankannya, perempuan dewasa yang berada dalam keadaan bersih juga boleh mengazankannya.Tiada masalah. Suami kena belajar azan nie!
Bagaimanakah cara untuk mengazankan bayi LELAKI & Perempuan?
Caranya seperti berikut:–
Bayi Lelaki
- Angkat bayi ke paras mulut
- Letakkan mulut ke telinga kanan bayi dan azan dengan suara yang sederhana. Jangan terlalu kuat dikhuatiri memberi kesan pada gegendang telinga bayi yang sensitif
- Selesai diazankan, letakkan semula di tempatnya.
Bayi Perempuan
- Angkat bayi ke paras mulut
- Letakkan mulut ke telinga kanan bayi dan azan dengan suara yang sederhana. Jangan terlalu kuat dikhuatiri memberi kesan pada gegendang telinga bayi yang sensitif
- Selesai diazankan, letakkan semula di tempatnya.
Memberikan Nama Yang Baik Dalam Masa 7 Hari Bayi Dilahirkan
Salah satu daripada tanggungjawab kita sebagai ibubapa ialah untuk memberikan nama yang baik dengan maksud yang elok kepada bayi yang baru dilahirkan. Adalah menjadi sunnah untuk menamakan bayi kita dalam tempoh 7 hari setelah dilahirkan. Kita boleh mencari nama yang sesuai sejak tempoh mengandung lagi supaya tidak terkejar-kejar untuk menamakan bayi.
Mentahnik
Mentahnik adalah amalan sejak zaman Rasulullah lagi di mana kurma yang dikunyah disuapkan ke mulut bayi dan digosokkan ke lelangit bayi tersebut. Selain kurma, kita juga boleh gunakan makanan sunnah manis yang lain seperti madu. Biasanya upacara mentahnik ini dilakukan dengan meminta seseorang yang tinggi keimanannya dan dihormati seperti alim ulamak, iman masjid ataupun ustaz.
Adakah amalan mentahnik diamalkan sejak zaman Rasulullah lagi? Jawapannya ialah YA. Ini berdasarkan oleh Abu Musa Al-Asy’ari yang berkata;
“Anak lelakiku yang baru saja lahir, lantas aku membawanya kepada Rasulullah SAW. Sesampainya di hadapanya. Baginda memberinya nama Ibrahim, lalu mentahniknya dengan kurma dan memohonkan keberkatan baginya. Setelah itu menyerahkan kembali bayi itu kepadaku”. (Hadith Riwayat Bukhari dan Muslim)
Mencukur Rambut Bayi
Mencukur rambut bayi adalah sunnah seterusnya yang boleh kita lakukan. Cara yang betul ialah dengan mencukur semua rambut bayi kita agar kekotoran dari dalam perut dapat dibuang dari kepala bayi kita. Kalau ada kemampuan, boleh timbang berat rambut yang dicukur dan bersedekah dengan harga emas untuk timbangan tersebut.
Aqiqah

Sunnah yang terakhir yang ingin Kak Eja kongsikan ialah melakukan aqiqah. Hukumnya ialah sunat Mu’akkadah-sunat yang sangat dituntut untuk melaksanakanya. Aqiqah untuk bayi kita dengan nilai 2 ekor kambing bagi bayi lelaki dan 1 ekor kambing bagi bayi perempuan. Ini berdasarkan satu hadith;
Rasulullah bersabda: “ Barangsiapa diantara kalian yang ingin menyembelih (kambing) kerana kelahiran bayi maka hendaklah ia lakukan untuk laki-laki dua kambing yang sama dan untuk perempuan satu kambing”. (Hadith riwayat Abu Daud)
Majlis aqiqah boleh dilakukan sekali dengan majlis cukur jambul. Tetapi ia bukan perkara yang wajib. Jika kita tidak mampu untuk melakukan majlis aqiqah untuk bayi kita sekarang, kita boleh lakukannya dikemudian hari.
Suami sebagai ketua keluarga haruslah pelajari dan bersedia untuk menerima ahli baru dalam keluarga.
Moga perkongsian ini dapat memberi sedikit sebanyak manfaat.
Terima kasih kerana sudi membaca. Jangan lupa “LIKE” atau “COMMENT” untuk sama-sama kita mendapat barkah perkongsian dari pendapat masing-masing.
Wassalam
Kak Eja